Pengenalan
Pusat Bertauliah (PB) bererti penyedia latihan kemahiran, sama ada institusi latihan atau tempat kerja (workplace) yang telah diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengendali latihan kemahiran dan menawarkan Persijilan Kemahiran Malaysia bagi bidang dan tahap kemahiran tertentu berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP) atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) merupakan satu kaedah bagi mengiktiraf mana - mana individu yang boleh membuktikan pengalaman dan pencapaian terdahulu yang dimiliki memenuhi keterampilan seperti yang digariskan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) / National Occupational Skill Standard (NOSS).
Institut Sosial Malaysia (ISM) telah berdaftar sebagai PB-Penuh dan PB-PPT bagi Program Operasi Khidmat Komuniti (Q889-003-3:2021) Tahap 3 dan Operasi Pusat Jagaan Orang Tua (CC-013-3:2013) Tahap 3. ISM telah diberi pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah (PB) pada 28 Mac 2017 dan melaksanakan sijil pentauliahan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi program-program berkenaan.
Penubuhan Pusat Bertauliah ISM bertujuan bagi:
- Meningkatkan akses kepada pendidikan di mana ia dapat memberi peluang kepada individu untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan baharu, seterusnya menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan sosio-ekonomi;
- Menangani keperluan tenaga kerja iaitu menjajarkan program latihan dengan permintaan industri untuk merapatkan jurang kemahiran dan memastikan tenaga kerja yang berkelayakan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing melalui program yang ditawarkan; dan
- Melahirkan lebih ramai pekerja sosial dan pengamal sosial yang berkemahiran dan berpengetahuan bagi memantapkan lagi pembangunan sosial negara.
Yuran dikenakan sebanyak RM450.00.
Syarat permohonan mengikuti program SKM:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 17 tahun ke atas
- Sihat tubuh badan
- Pengalaman bekerja bidang berkaitan (lebih 3 tahun)