Objektif utama kajian adalah untuk merangka dan membangunkan pelan tindakan sistem sokongan yang komprehensif bagi penjaga OKU berdaftar. Kajian ini melibatkan sampel seramai 2,333 orang penjaga tidak formal yang merangkumi kesemua tujuh kategori OKU. Kajian sampel penjaga formal (pusat jagaan OKU), melibatkan 213 buah pusat jagaan yang terdiri daripada 162 pusat Pemulihan Dalam Komuniti, tujuh Taman Sinar Harapan, 27 pusat jagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 13 pusat jagaan swasta dan empat pusat jagaan persendirian. Masalah utama yang dihadapi kini adalah masih belum ada pengiktirafan bagi penjaga OKU, yang mana hal ini akan mengakibatkan tiada maklumat lengkap tentang penjaga yang boleh dirujuk. Bantuan/sokongan yang boleh disalurkan kepada penjaga OKU di Malaysia dikatakan amat terhad memandangkan tiada pangkalan data berpusat bagi penjaga OKU berdaftar yang boleh dirujuk atau diguna sama oleh setiap kementerian, jabatan atau agensi pada peringkat persekutuan dan negeri, pihak swasta dan NGO. Jadi, agak sukar untuk membuat penyelarasan dalam penyediaan bantuan dan sokongan mengikut keperluan sebenar penjaga OKU.