Keberkesanan Kerja Sosial dalam Pengurusan Bencana oleh Agensi JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

Kajian yang dijalankan ini adalah untuk mengkaji keberkesanan kerja sosial dalam pengurusan bencana oleh agensi JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Lokasi kajian adalah negeri Sabah, Selangor dan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kajian ini telah bermula pada bulan Mei 2022 dan berakhir pada bulan September 2022.

Kajian Tinjauan Mengenai Persepsi dan Tahap Pengetahuan Masyarakat terhadap Keganasan Rumah Tangga di Malaysia

Satu kajian telah dilakukan untuk mengetahui persepsi dan mengenalpasti tahap keganasan rumah tangga yang berlaku dalam negara. Perbezaan persepsi dan pengetahuan antara individu berkahwin dan belum berkahwin terhadap keganasan rumah tangga juga dianalisis bagi mencadangkan inisiatif sosial sekaligus mengurangkan kadar keganasan rumah tangga yang berlaku. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan dengan mengedarkan borang soal selidik kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kajian Keberkesanan dan Pemerkasaan Penubuhan Independent Living Centre (ILC)

Program perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre) (ILC) kepada Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan sebuah program yang menawarkan perkhidmatan asas untuk memperkasakan komuniti OKU di Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada aspek penentuan matlamat kendiri dan kemahiran kehidupan berdikari supaya komuniti OKU lebih bersedia untuk memulakan kehidupan seharian. Berdasarkan hal ini, komuniti OKU memiliki tanggungjawab sepenuhnya ke atas diri sendiri dan mereka diberi penghormatan sebagai individu dalam masyarakat di negara ini.

Kajian Hubungan Konflik Kewangan Terhadap Kesejahteraan Sosial Wanita dalam Isu Keganasan Rumah Tangga

Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami aspek ekonomi dan kewangan dalam keganasan rumah tangga daripada perspektif wanita yang terlibat dengan keganasan rumah tangga. Bagi merungkai isu-isu ekonomi dan kewangan ini, maklumat daripada mangsa keganasan rumah tangga dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperoleh menerusi pendekatan kuantitatif, menggunakan borang soal selidik dalam bentuk google form dan juga pendekatan kualitatif berdasarkan temuduga dan perbincangan kumpulan berfokus.

Kajian Kesihatan Mental Wanita yang Menghadapi Diskriminasi di Tempat Kerja

Dua belas hipotesis telah dibina sebagai asas kepada kajian ini yang berbentuk tinjauan di lapangan dalam bentuk soal selidik untuk mencapai objektif bagi mengenal pasti keadaan semasa jenis diskriminasi di tempat kerja untuk golongan wanita di samping mengetahui peranan dan implikasinya terhadap kesihatan mental mereka. Populasi kajian ini ialah 5.1 juta wanita bekerjaya di Malaysia dan saiz sampel yang digunakan untuk pelaporan analisis adalah 411. Teknik yang digunakan ialah persampelan rawak mudah dalam pengumpulan data.

Kajian Mengenai Tahap Kesejahteraan Ekonomi serta Kaedah Alternatif Bagi Kelangsungan Hidup OKU (Penerima Bantuan JKM) semasa Tempoh PKP di Lembah Klang

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengetahui tahap Kesejahteraan Ekonomi OKU (penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Isu yang diketengahkan membawa kepada alternatif untuk kelangsungan hidup OKU. Lima hipotesis telah dibina sebagai asas kepada kajian ini yang berbentuk tinjauan lapangan dan melibatkan beberapa siri temu bual. Populasinya ialah 134,807 OKU di Lembah Klang dan saiz sampel ialah 384. Teknik yang digunakan ialah persampelan rawak mudah dalam pengumpulan data.

Kajian Penilaian Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Hasil kajian ini dilihat memberi implikasi bukan sahaja untuk memperkasa dan penambahbaikan program-program bantuan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kepada golongan sasar di masa akan datang, malah input kajian ini dilihat bermanfaat dalam membekalkan sumber maklumat penting kepada KPWKM ke arah perancangan pelan strategik bantuan jangka panjang yang bersesuaian. Hasil kajian ini juga memberi implikasi terhadap penilaian keberkesanan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menyediakan bantuan kepada golongan sasar.

Kajian Pelaksanaan Projek Rintis Diversion Bagi Kanak-Kanak Yang Mempunyai Konflik Dengan Undang-Undang di Malaysia

Program Rintis Diversion adalah satu inisiatif yang dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dipersetujui oleh Pejabat Peguam Negara (AGC). Usaha untuk mengadakan Program Rintis ini bermula sejak tahun 2013 dengan pelbagai mesyuarat serta bengkel-bengkel pengenalan dan latihan mengenai Diversion yang dikendalikan oleh pakar-pakar Diversion dari luar negara seperti England dan Wales, Australia, New Zealand dan Hong Kong.

Kajian Diagnostik Bagi Membentuk Model Penjagaan Warga Emas Masa Panjang Yang Bersepadu dan Mampan di Malaysia

Malaysia menuju ke arah negara menua dan dijangka 5.8 juta warga emas bersamaan dengan 15.3% berumur 60 tahun dan ke atas pada tahun 2030. Kajian diagnostik ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan formal dan tidak formal bagi mencapai kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh. Tujuan utama kajian ini ialah membentuk model penjagaan warga emas jangka masa panjang (Long Term Care [LTC]) tahun 2030. Kajian ini mendiagnosis jurang penawaran dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan sedia ada.

Pengurusan Kes Kerja Sosial

Buku ini merupakan hasil garapan dari pengalaman para pelajar Program Diploma Pasca Siswazah Kerja Sosial (DPSKS) semasa menjalani latihan praktikum di pelbagai agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pengalaman yang ditimba semasa menjalani latihan praktikum seterusnya diterjemahkan dalam bentuk penulisan ilmu kerja sosial yang tentu sekali memberi impak positif kepada pengamal kerja sosial dan masyarakat amnya.