Kajian Hubungan Konflik Kewangan Terhadap Kesejahteraan Sosial Wanita dalam Isu Keganasan Rumah Tangga

Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami aspek ekonomi dan kewangan dalam keganasan rumah tangga daripada perspektif wanita yang terlibat dengan keganasan rumah tangga. Bagi merungkai isu-isu ekonomi dan kewangan ini, maklumat daripada mangsa keganasan rumah tangga dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperoleh menerusi pendekatan kuantitatif, menggunakan borang soal selidik dalam bentuk google form dan juga pendekatan kualitatif berdasarkan temuduga dan perbincangan kumpulan berfokus. Bagi tujuan ini, pra ujian soal selidik telah dilaksanakan bagi memastikan instrumen kajian ini yang telah diubah suai daripada literatur terdahulu dan kontemporari menepati tujuan kajian. Protokol temubual dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) juga telah dibangunkan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan mendalam daripada responden kajian.