Berita
![[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]](/sites/default/files/styles/4_3_960x720_focal_point_webp/public/2025-05/434665421_824833106352266_3578171535588885961_n.jpg.webp?itok=uUjle0UK)
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON]
JKP Zon 19 hari ini telah mengedarkan sayur-sayuran percuma sebagai sebahagian program sempena Bulan Ramadan.
Sebanyak 500 kilogram sayur sayuran percuma diedarkan kepada lebih 180 orang penduduk di kawasan Kundang.
Terima Kasih dan Tahniah kepada Tuan Saharudin Abu Bakar, Ahli Majlis MPS Zon 9 atas usaha murni ini.

OPERASI PEROBOHAN PEMBINAAN TANPA KEBENARAN
Satu operasi perobohan pembinaan tanpa kebenaran ke atas pemilik premis perniagaan di Jalan 3/5, Bandar Baru Selayang telah dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa MPS pada 3 April 2024.
Perobohan ini dibuat selepas pihak MPS mendapati peniaga telah melakukan pembinaan tembok tanpa kebenaran yang telah menutup pembahagi jalan (divider).
Operasi yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini diketuai oleh Jabatan Bangunan dan dibantu Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan-jabatan dalaman MPS dan agensi luaran dengan lancar tanpa sebarang halangan atau provokasi.
MPS ingin mengingatkan pemilik premis agar mematuhi arahan, undang-undang dan tatacara yang ditetapkan atau pemilik boleh berdepan dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

PERHIMPUNAN BULAN MAC
Sekitar Majlis Perhimpunan Bulanan yang dihoskan oleh Bahagian Urusetia telah diadakan pada 27 Mac 2024 bertempat di Lobi Menara MPS.
Pada majlis ini, telah diadakan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Stor Terbaik MPS dan sumbangan pek Syawal kepada kakitangan MPS oleh Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS. Pihak ANULAE Cawangan MPS bersama KSDK MPS turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 15 orang penerima yang terpilih daripada kalangan kakitangan MPS.
Di akhir majlis telah diadakan penyampaian cenderahati penghargaan kepada Tuan PMgr Sr Mohd Asraf bin Mat Yajid, Pengarah Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS di atas petukaran beliau ke Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Melaka. Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan.

MESYUARAT MAJLIS BIL.3 2024
Sekitar Mesyuarat Majlis Bil.3/24 yang telah berlangsung pada 27 Mac 2024 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS. Turut hadir dalam mesyuarat ini Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, Ahli-Ahli Majlis MPS dan pengarah-pengarah jabatan MPS.

AUDIT PEMANTAUAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI ISO 9001 DAN INFORMATION SECURITY MANAGEMENT SYSTEM (ISMS) 27001
Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 dan Information Security Management System (ISMS) 27001 telah diadakan pada 25 hingga 27 Mac 2024. Mesyuarat pembukaan audit telah disempurnakan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Sesi pengauditan ini diketuai oleh Encik Mohd Nasir bin Md. Zainuddin selaku Ketua Audit ISO 9001:2015 dan Puan Noor Kamasahliza binti Md Sahair @ Shahir, Ketua Audit ISO/IEC 27001:2013 dari SIRIM QAS International Sdn. Bhd bersama-sama 2 orang auditor iaitu Puan Nur Amira binti Amran dan Encik Mohammad Hamidi bin Yusop.
Sesi pengauditan ini dijalankan bagi memastikan prosedur kerja dipatuhi dan mengikut piawaian yang ditetapkan..

LAWATAN PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR (PSSCMCS) KE MPS
MPS telah menerima lawatan dari Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Selangor (PSSCMCS) pada 25 Mac 2024.
Lawatan kunjung hormat ini disertai oleh 4 orang ahli diketuai oleh Tuan Haji Suhaimi bin Mohd Yunan, Yang Dipertua PSSCMCS dan disambut oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi penerangan tentang infomasi dan fungsi PSSCMCS dalam mengembangkan seni silat budaya bangsa kepada pentadbir kerajaan dan komuniti setempat.
Semoga dengan lawatan ini, hubungan kerjasama antara PSSCMCS dan MPS dapat mendatangkan kebaikan dan manfaat bersama.

MAJLIS TADARUS & KHATAM ALQURAN
Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini, satu Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Majlis Perbandaran Selayang untuk kakitangan Wanita telah diadakan pada 22 Mac 2024 bertempat di Surau Tingkat 8, MPS. Program ini merupakan anjuran bersama Kelab Sukan dan Kebajikan MPS dan Anulae MPS.
Majlis ini telah dihadiri oleh YB Puan Anfaal binti Shaari, ADUN Taman Templer merangkap EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dan melibatkan seramai 75 orang kakitangan wanita MPS dari semua jabatan. Turut hadir ke program ini Puan Ruzani binti Sohot, Pengerusi ANULAE MPS dan Pn Kasmah binti Kamis, Setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan MPS.
Tahniah diucapkan kepada KSDK MPS dan Anulae MPS atas penganjuran program yang dapat mendidik jiwa serta merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.

PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK
Kelab Sukan dan Kebajikan MPS telah menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk pada 21 Mac 2024 bertempat di Tempat Letak Kereta Kuarters MPS, Bandar Baru Selayang.
Program tahunan ini bertujuan untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia melalui aktiviti kemasyarakatan secara gotong royong dan berkongsi rezeki di samping mengeratkan lagi silaturahim antara warga MPS. Sebanyak 2500 bekas bubur lambuk akan diedarkan kepada kakitangan MPS, Agensi- agensi Kerajaan dan swasta serta orang awam yang datang berurusan di MPS.
Turut hadir bagi menyempurnakan program Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, Ahli- ahli Majlis dan Pengarah Jabatan.

PROGRAM SERAHAN BEKAS MAKANAN BERTUTUP KEPADA PENGUNJUNG BAZAR RAMADAN
Bagi mengurangkan penggunaan plastik di kalangan pengunjung Bazar Ramadan, satu program serahan bekas makanan bertutup telah diadakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 20 Mac 2024 di Bazar Ramadan, Bandar Rawang.
Tujuan program ini diadakan adalah sebagai simbolik kepada pengunjung untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan. Di samping itu, program ini juga dapat memberi kesedaran dan secara tidak langsung menggalakkan peniaga untuk tidak menggunakan beg plastik bagi membungkus makanan manakala pengunjung pula digalakkan membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan.
Edaran bekas makanan dan beg guna semula kepada pengunjung ini telah disampaikan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS. Turut hadir Puan Alice Choo Foong Thye, Ahli Majlis Zon 15, Pengarah Jabatan Pelesenan , Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan serta Pengarah Jabatan Penguatkuasa & Keselamatan.
Melalui program ini juga MPS mempromosikan Kempen “Jom Makan Sampai Habis” yang merupakan kempen berobjektif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak melakukan pembaziran ketika berbelanja dan mengurangkan penghasilan sisa makanan.

TAKLIMAT PENGECUALIAN CUKAI TAKSIRAN KEDIAMAN KAMPUNG BERSASAR
Selaras dengan keputusan kerajaan Negeri Selangor untuk pelaksanaan pengecualian kediaman kampung diberikan secara bersasar bermula tahun 2024, satu program taklimat telah diadakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini di Dewan Rinai, Taman Gombak.
Seramai lebih 40 orang telah hadir ke program taklimat ini yang dikendalikan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPS. Kehadiran melibatkan Ahli Majlis MPS, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan juga Ketua Komuniti di bawah Perbandaran Selayang.
Penerangan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Pengarah JPPH MPS dan Puan Sr. Farah Firdaerma, Pegawai Penilaian MPS telah memperincikan tentang syarat permohonan, dokumen yang diperlukan, tempoh permohonan dan lain-lain yang berkaitan.
Program kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab dan tamat pada jam 11 pagi.
MPS ingin mengingatkan kepada semua pemilik harta di kawasan kampung yang layak untuk membuat permohonan pengecualian cukai taksiran kediaman kampung ini sebelum 31 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut hubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di 03 6126 5906 / 5907 / 5908 atau layari www.mps.gov.my