Berita

PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK MPS VS MPHS
Perlawanan persahabatan bola sepak antara Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berlangsung pada 17 Februari 2025 di Stadium Mini Taman Jati, Rawang.
Perlawanan yang bermula pada jam 8:30 malam berakhir dengan keputusan seri 3-3. Seramai 50 orang penonton turut hadir memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan.
Tahniah kepada kedua-dua pasukan atas semangat kesukanan yang tinggi! Semoga program seperti ini dapat terus mengeratkan hubungan dan kerjasama antara warga kerja MPS dan MPHS.

LAWATAN PENILAI ANUGERAH PENGURUSAN PEJABAT & PENTADBIRAN CEMERLANG (APPC) 2025
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan panel penilai Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) daripada Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Februari 2025 bertempat di Dewan Keraian, Menara MPS.
Seramai 12 orang panel yang diketuai oleh Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha Bahagian Korporat untuk menilai prestasi dan kecekapan pengurusan pentadbiran serta perkhidmatan yang disediakan oleh MPS.
Objektif utama pelaksanaan APPC ini adalah untuk mengukur kecemerlangan perkhidmatan organisasi dan memperkasa peranan dalam pengurusan. Melalui penilaian ini, MPS dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam sistem pengurusan MPS seterusnya merangka langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dan Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS turut berkesempatan meninjau lawatan audit yang dijalankan.

MPS SERTAI PROGRAM HARI TERBUKA PPDK TAMAN SRI GOMBAK
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyertai Program Hari Terbuka PPDK Taman Sri Gombak yang berlangsung di Padang Puncak Fasa 8, Taman Sri Gombak pada 15 Februari 2025.
Pada program ini, MPS membuka kaunter pembayaran cukai dan kaunter aduan bagi memudahkan urusan orang ramai.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi kerajaan seperti PDRM, Bomba, Jabatan Kesihatan, AADK, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta organisasi komuniti.
Selain itu, pengunjung juga telah berpeluang mendapatkan barangan keperluan menerusi Jualan Rahmah, di samping menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, pertandingan mewarna dan berkunjung ke gerai jualan yang dibuka.
Terima kasih kepada semua yang hadir ke program ini. MPS akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Selayang.
![[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HAJI MAZLAN](/sites/default/files/styles/4_3_960x720_focal_point_webp/public/2025-05/480303480_1052290673606507_7973954301308467238_n.jpg.webp?itok=TAIpjn-_)
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HAJI MAZLAN
Sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2025, Program Back To School anjuran JKP Zon 3 telah diadakan pada 15 Februari 2025 bertempat di Dewan MPKK Kampung Changkat dan Dewan Permai, Kampung Changkat, Gombak.
Seramai 160 orang pelajar telah menerima sumbangan beg sekolah. Program ini bertujuan untuk membantu bagi persiapan menjelang sesi persekolahan yang baru pada tahun 2025.
Sumbangan ini telah turut disempurnakan oleh Tuan Haji Mazlan bin Musa, Ahli Majlis MPS. Hadir sama, Tuan Haji A. Rahim bin Kasdi, Penyelaras DUN Gombak Setia.
Tahniah kepada Tuan Haji Mazlan atas sumbangan ini. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan keluarga pelajar.

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
MPS telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 14 Februari 2025 (Jumaat) bertempat di Lobi Menara MPS, bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini bertujuan untuk mendekatkan pihak MPS dengan masyarakat setempat, mendengar aduan serta cadangan secara langsung, dan memberikan penyelesaian segera terhadap isu yang dibangkitkan oleh orang awam.
Turut hadir dalam program ini ialah Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, Tuan Haji Azhar bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, bersama Pengarah jabatan dalaman.
Bagi orang awam yang tidak berkesempatan untuk datang ke Program Hari Bertemu Pelanggan hari ini boleh melayari https://mps.spab.gov.my/eApps/system/index.do untuk sebarang aduan, cadangan dan maklum balas atau boleh ke media sosial kami untuk maklumat lanjut.

SUMBANGAN PEK MAKANAN KEPADA PENGUNJUNG SEMPENA SAMBUTAN THAIPUSAM
Kelab Ahli Majlis Biro India Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengagihkan makanan dan minuman percuma kepada kira-kira 20,000 pengunjung yang membanjiri Kuil Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada 10 dan 11 Februari 2025.
Inisiatif ini bertujuan memastikan keselesaan pengunjung sepanjang menjalankan aktiviti dan upacara keagamaan. Hidangan vegetarian turut disediakan bagi memenuhi keperluan pengunjung yang hadir.
Program ini melambangkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti serta sokongan kepada masyarakat Hindu yang menyambut Thaipusam.
Sumbangan makanan dan minuman ini turut mendapat kerjasama daripada YB Tuan William Leong; Ahli Parlimen Selayang, YB Tuan Gobind Singh; Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Damansara, YB Tuan Chang Lih Kang; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi; Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia.
Turut hadir, YB Chua Wei Kiat; ADUN Rawang serta empat Ahli Majlis MPS Biro India.

MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN THAIPUSAM PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2025
YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari; Dato’ Menteri Besar Selangor telah menghadiri dan menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung pada 10 Februari 2025 di perkarangan Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves.
Sambutan ini diadakan bagi penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat. Kehadiran puluhan ribu penganut Hindu yang membanjiri kawasan Batu Caves mencerminkan keharmonian dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Dalam majlis ini, Dato’ Menteri Besar Selangor turut menyampaikan sumbangan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berjumlah RM561,000 kepada 61 kuil sekitar Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Turut hadir YB Puan Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Komunikasi, YB Papparaidu a/l Veraman; Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Jamaliah binti Jamaluddin; Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Ganabatirau a/l Veraman; Ahli Parlimen Klang, YB Gunarajah a/l R George; ADUN Sentosa, dan Puan Nor Azlina binti Aziz; Pegawai Daerah Gombak.
Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dan Ahli Majlis turut bersama memeriahkan majlis ini.
Perayaan ini diharapkan terus menjadi simbol keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat Selangor.

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) MPS TAHUN 2024
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 7 Februari 2025 bertempat di Templer’s Ballroom, Setia Eco Templer, Rawang.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Haniff bin Zainal, Pegawai Kewangan Negeri Selangor. Turut hadir ialah Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS; Ahli Majlis; serta pengarah jabatan.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada 87 orang kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024. Selain itu, majlis turut menyampaikan penghargaan kepada 19 orang pesara MPS bagi tahun 2024 dan 2025 atas jasa serta sumbangan mereka kepada organisasi.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga penghargaan ini menjadi motivasi kepada semua kakitangan MPS untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

PENJUALAN PERMIT TAPAK PERNIAGAAN SEMPENA SAMBUTAN THAIPUSAM 2025
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan sesi penjualan permit dan undian tapak perniagaan sempena sambutan Thaipusam 2025 pada 5 Februari 2025 di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Batu Caves.
Untuk tahun ini, sebanyak 298 tapak perniagaan bersaiz 10x10 kaki persegi telah ditawarkan dan telah habis terjual. Sesi jualan
dan undian ini telah berjalan dengan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari.
Pihak MPS akan sentiasa melaksanakan pemantauan di tapak untuk memastikan semua penjaja mematuhi syarat-syarat permit yang telah digariskan. Penjaja juga diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran serta
mutu makanan yang dijual bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini seperti isu berkaitan kesihatan dan penyakit berjangkit.

CERAMAH AMBANG SYAWAL 1446H DI PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS (PAWE) SUNGAI TUA
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) telah menganjurkan Ceramah Agama Ambang Syawal di Bangunan PAWE Sungai Tua pada 26 Mac 2025 bertujuan untuk memperkukuhkan ukhuwah sesama ahli selain menghebahkan pendaftaran keahlian PAWE kepada warga emas setempat.
Ceramah agama bertajuk “Ramadan Dihayati, Syurga Menanti” telah disampaikan oleh penceramah bebas, Ustaz Zulhazwan bin Ismail. Seramai 108 orang ahli PAWE Sungai Tua dan warga emas dari kawasan sekitar telah hadir menyertai program ini.
Pihak jabatan juga turut menyediakan cenderahati iaitu ketupat mini yang diberikan kepada 100 orang peserta terawal mendaftar.
Hadir sama dalam majlis ini Tuan Muhammad Husaini bin Mohd Yunos, Ahli Majlis Zon 6 dan TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat yang mewakili Tuan Yang Dipertua MPS.
Secara keseluruhan, program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat baik daripada semua peserta.