603-6126 5800 [email protected]

MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Pemacu Perbandaran Berdaya Huni Ke Arah Status Bandaraya Pada 2030

Berita

PROGRAM CSR MAMEE DOUBLE DECKER DAN MPS DI BAZAR RAMADAN GREENWOOD
PROGRAM CSR MAMEE DOUBLE DECKER DAN MPS DI BAZAR RAMADAN GREENWOOD

Dalam usaha untuk mencapai objektif utama program ini bagi menyokong peniaga kecil dan mengeratkan hubungan dengan komuniti, satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan hasil kerjasama antara Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 7 Mac 2025 di Bazar Ramadan Greenwood. 

Pada program ini sebanyak 250 goodies bag diberikan kepada peniaga serta pengunjung bazar sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat. 

Program ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mazlan bin Musa; Ahli Majlis Zon 3, Puan Zulaina binti Abu Talib; Pengarah Pelesenan MPS, Encik Zariman bin Ibrahim; Timbalan Pengarah Pelesenan MPS, serta wakil daripada pihak Mamee Double Decker. 

Para peniaga dan pengunjung bazar telah memberikan sambutan yang amat menggalakkan dan diharapkan dengan adanya program seperti ini bukan sahaja mencapai objektif utamanya tetapi juga menjadi platform bagi mempromosikan semangat kekitaan dan keusahawanan dalam kalangan peniaga serta masyarakat setempat. 

PROGRAM REZEKI RAMADAN 2025_ ANJURAN ANULAE MPS
PROGRAM REZEKI RAMADAN 2025_ ANJURAN ANULAE MPS

ANULAE cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengagihkan sebanyak 400 pek makanan berbuka puasa kepada kakitangan MPS pada 6 Mac 2025 bertempat di Lobi Menara MPS. Serahan pek makanan ini telah disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. 

Turut sama dalam majlis ni Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Penolong Setiausaha MPS, Puan Ruzani Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS, Tuan Anwar bin Wan Ibrahim; Ahli Majlis Zon 5, Tuan Haji Muhammad Najmi bin Samsudin; Ahli Majlis Zon 9 dan Tuan Saharudin bin Abu Bakar Ahli Majlis Zon 19 

Semoga perkongsian rezeki ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT serta menyemarakkan lagi ukhwah antara warga MPS di bulan Ramadan.

OPERASI MEGA PEMBERSIHAN DI LOKASI TERJEJAS LETUPAN PAIP GAS (HARI KEDUA)
OPERASI MEGA PEMBERSIHAN DI LOKASI TERJEJAS LETUPAN PAIP GAS (HARI KEDUA)

Operasi Mega Pembersihan di Lokasi Terjejas Letupan Paip Gas diteruskan pada hari kedua bertempat di Kampung Sungai Baru, Putra Height, Subang Jaya pada 13 April 2025.

Sebanyak 18 buah jentera pelbagai jenis termasuk dua Lori Tangki, empat Lori Roll-On-Roll-Off (RORO) dan 12 Kenderaan Penumpang telah digerakkan dalam operasi ini. 

Pelbagai skop kerja pembersihan telah dijalankan antaranya pembersihan kawasan dalam rumah mangsa yang terjejas, pembersihan kawasan longkang dan saliran, penebangan dan cantasan pokok, pembersihan jalan-jalan utama serta pengangkutan sampah pukal dan peralatan yang telah rosak. 

Tahniah diucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat dan terima kasih diucapkan atas kerjasama erat di antara pihak-pihak yang terlibat untuk memastikan kawasan yang terjejas kembali dalam keadaan yang bersih dan selamat. 

#selayangkusayang

OPERASI MEGA PEMBERSIHAN DI LOKASI TERJEJAS LETUPAN PAIP GAS (HARI PERTAMA)
OPERASI MEGA PEMBERSIHAN DI LOKASI TERJEJAS LETUPAN PAIP GAS (HARI PERTAMA)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini telah menyertai Operasi Mega Pembersihan di lokasi terjejas Letupan Gas Putra Height pada 12-13 April 2025.

Operasi bersepadu anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari; Dato’ Menteri Besar Selangor. Operasi Mega Pembersihan ini turut disertai semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, KDEBWM dan Selangor Volunteer (Serve) seliaan Majlis Sukan Negeri (MSN).

Seramai 65 orang sukarelawan daripada jabatan dalaman MPS digerakkan ke Kampung Kuala Sungai Baru dengan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas. Sebanyak 14 jentera termasuk tiga tong Roll-On Roll-Off (RORO), Lori Cargo 5 Tan, Lori Tangki dan Lori Water Jetter telah digerakkan bagi tujuan ini. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS telah turut bersama-sama sukarelawan MPS melaksanakan kerja-kerja pembersihan. 

Usaha pembersihan ini yang tamat pada jam 4:30 petang akan diteruskan pada hari esok (13 April 2025). MPS berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan kerja pembersihan

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 11 April 2025, bertempat di Lobi Menara MPS, dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. 

Penganjuran program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak MPS dan komuniti setempat, di samping menyediakan platform bagi mendengar aduan serta cadangan secara langsung daripada orang awam, dan seterusnya menyampaikan maklum balas serta penyelesaian segera terhadap isu yang dikemukakan. Program ini turut disertai oleh Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS, bersama seramai 25 wakil daripada 14 jabatan dalaman serta satu agensi luar.

Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan, iaitu memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, di samping meningkatkan tahap kepercayaan terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan oleh MPS.

Orang awam yang tidak berpeluang menghadiri program ini boleh mengemukakan aduan, cadangan atau maklum balas melalui pautan https://mps.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau melalui saluran media sosial rasmi MPS untuk maklumat lanjut.

SERAHAN BAKUL KEPADA PENGUNJUNG DAN TOPI KEPADA PENIAGA PASAR MALAM SELAYANG MALL
SERAHAN BAKUL KEPADA PENGUNJUNG DAN TOPI KEPADA PENIAGA PASAR MALAM SELAYANG MALL

Sebagai tanda penghargaan kepada para peniaga dan pengunjung pasar malam, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah menganjurkan Majlis Penyampaian Bakul kepada pengunjung dan topi kepada peniaga pasar malam pada 9 April 2025 bertempat di Pasar Malam Selayang Mall, Selayang.

Sebanyak 100 buah topi telah diserahkan kepada peniaga bagi kegunaan sepanjang berniaga di pasar dan 80 buah bakul telah diserahkan kepada pengunjung bertujuan memudahkan pengunjung untuk meletakkan barangan belian di dalam bakul serta menyahut seruan kerajaan negeri dalam sifar penggunaan beg plastik.

Majlis turut dihadiri oleh Tuan U Chin Ong selaku pengelola pasar malam ini merangkap Ahli Majlis MPS bersama Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Pelesenan MPS. 

TAKLIMAT PENGENALAN DAN KESEDARAN ISO@IEC 270012022 INFORMATION SECURITY MANAGEMENT SYSTEM (ISMS)
TAKLIMAT PENGENALAN DAN KESEDARAN ISO@IEC 270012022 INFORMATION SECURITY MANAGEMENT SYSTEM (ISMS)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Taklimat Pengenalan dan Kesedaran tentang pelaksanaan dan pensijilan ISO/IEC 27001:2022 Information Security Management System (ISMS) pada 8 April 2025 bertempat di Dewan Keraian, Menara MPS.

Sesi taklimat telah disampaikan oleh Puan Zuriati binti Karia, Pengurus Projek ISO/IEC 27001:2022 MPS dan Puan Wan Nor Aiman, Perunding ISO/IEC 27001:2022 MPS. Tujuan taklimat diadakan bagi memberi pendedahan mendalam mengenai Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat kepada kakitangan pelaksana MPS yang memainkan peranan penting dalam menjaga kerahsiaan pengguna.

Hadir sama, Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, pengarah jabatan dan wakil jabatan dalaman MPS.

MPS SERAH SUMBANGAN MAKANAN DI PPS GOMBAK SETIA
MPS SERAH SUMBANGAN MAKANAN DI PPS GOMBAK SETIA

Sebagai tanda prihatin terhadap komuniti setempat, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyumbangkan juadah makanan kepada mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, hari ini.

MPS telah mengagihkan keropok lekor, pisang goreng, dan keledek goreng kepada mangsa-mangsa dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) di PPS tersebut.

PPS ini dibuka bagi menempatkan mangsa insiden kebakaran yang berlaku di No. 84, Jalan Kanak-Kanak, Gombak Setia pada 1 April 2025. Seramai tujuh orang mangsa yang terdiri daripada daripada tiga kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan, dan seorang warga emas lelaki ditempatkan di PPS tersebut.

Semoga semua mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan, dan diharapkan agar mangsa dapat kembali ke kediaman mereka dengan segera dan selamat.

MPS AGIH MAKANAN DI PPS MASJID PUTRA HEIGHT
MPS SALURKAN BANTUAN MAKANAN KE RUMAH KEBAJIKAN

Bagi menyempurnakan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan penuh rasa tanggungjawab telah menyalurkan bantuan makanan kepada rumah kebajikan di sekitar Gombak pada hari ini. 

MPS mengedarkan juadah seperti keropok lekor, pisang goreng, dan keledek goreng di setiap rumah kebajikan yang dikunjungi. Antara institusi kebajikan yang menerima sumbangan ialah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Raudhatul Nurr Jannah, Pusat Jagaan Warga Tua Sri Tanjung, Pusat Jagaan Warga Emas Kangiten, Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Chester Selangor, PSPK Women Development Care Centre, Pusat Jagaan Sivananda Home dan Bethesda House Care Centre.

Penyaluran bantuan ini selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang memutuskan pembatalan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Selangor yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pembatalan majlis tersebut bagi menghormati dan memberi keutamaan kepada mangsa serta keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pada 1 April 2025. 

Baginda juga telah menitahkan agar persiapan yang telah pun dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada PPS, petugas keselamatan, anggota bomba, para sukarelawan dan NGO, rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.

MPS AGIH MAKANAN DI PPS MASJID PUTRA HEIGHT
MPS AGIH MAKANAN DI PPS MASJID PUTRA HEIGHT

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan penuh rasa tanggungjawab telah menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Height, hari ini.

Penyerahan bantuan makanan ini adalah selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menitahkan pembatalan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Selangor, bagi memberi fokus kepada mangsa-mangsa dan keluarga yang terkesan oleh insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

MPS mengagihkan juadah makanan seperti keropok lekor, pisang goreng, dan keledek goreng di setiap lokasi rumah kebajikan yang dilawati. 

Turut serta dalam penyerahan ini, YB Puan Anfaal bin Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap ADN Taman Templer, yang turun padang melawat sesi penyerahan makanan PPS Masjid Putra Height.

Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi musibah ini. #KepedulianSultanSelangor#BersamaMembantu"