Berita
![[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HJ. MAZLAN](/sites/default/files/styles/4_3_960x720_focal_point_webp/public/2025-05/484751896_1074801044688803_438368809621162881_n.jpg.webp?itok=CcJkIUlC)
[PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HJ. MAZLAN
Tuan Hj. Mazlan bin Musa, Ahli Majlis MPS telah menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada penduduk Zon 3 pada 16 Mac 2025 bertempat di Dewan Pejabat Ahli Majlis Zon 3, Gombak.
Sumbangan ini merupakan kerjasama dengan IKRAM Daerah Gombak. Seramai 60 orang penerima telah menerima sumbangan berbentuk tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban dan menambahkan kegembiraan di bulan Ramadan serta persiapan untuk menyambut hari Raya Aidilfitri yang akan tiba.
Terima kasih kepada Tuan Haji Mazlan dan pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan.

PROGRAM TADARUS AL-QURAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
Anulae Cawangan Majlis Perbandaran Selayang dengan kerjasama Kelab Sukan & Kebajikan Majlis Perbandaran Selayang telah menganjurkan Program Tadarus Al-Quran pada 14 Mac 2025 bertempat di Surau MPS, Tingkat 8, Menara MPS. Program ini telah disertai seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja wanita MPS.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan nilai-nilai murni selaras dengan konsep Malaysia Madani, di samping menekankan aspek kebajikan dan produktiviti dalam komuniti serta penghayatan terhadap Al-Quran.
Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada warga MPS serta diteruskan pada masa akan datang.

MPS ARAH TUTUP SERTA MERTA KANDANG TERNAKAN AYAM HARAM
Sebuah perniagaan ayam telah dikenakan tindakan sita kerana didapati beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi bersepadu yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 14 Mac 2025 (Jumaat) di Kampung Sungai Bakau, Jalan Batu Arang di Rawang.
Operasi bersepadu MPS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Gombak dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Daerah Gombak telah mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan dua kompaun, satu notis penutupan, dan sitaan terhadap premis tersebut.
Tindakan notis sitaan dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan kompaun dibawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Seksyen 3(1) kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen MPS.
Premis juga diarahkan untuk tutup serta merta dan diarahkan untuk berpindah serta mengosongkan premis dengan kadar segera memandangkan lokasi tersebut tidak sesuai untuk dijadikan aktiviti peniagaan iaitu berdekatan dengan kawasan kediaman yang boleh menyebabkan kacau ganggu bau busuk di sekitar kejiranan tersebut.
Dalam operasi yang sama, satu kilang yang beroperasi sebagai pusat penyembelihan ayam di lokasi tersebut turut diperiksa dan hasil penemuan mendapati premis itu telah melanggar beberapa syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
Kilang berkenaan beroperasi menggunakan lesen sementara yang dikeluarkan MPS. Namun begitu, kilang tersebut didapati telah melepaskan efluan terus ke dalam longkang. Juga didapati bahawa pekerja premis tidak mengambil suntikan typhoid. Sehubungan itu, MPS mengeluarkan dua kompaun dan satu notis penutupan.
Kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Seksyen 20 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan, Seksyen 9 (f). Lesen sementara kilang itu turut ditarik dan digantung dalam sistem lesen dan diarahkan tutup serta merta sehingga Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan MPS dipatuhi.
Sementara itu, pihak JAS telah mengambil tindakan sitaan kelengkapan yang melibatkan penghasilan efluen sehingga sistem rawatan kawalan efluen premis tersebut beroperasi semula. Persampelan juga turut diambil daripada punca aktiviti penyembelihan yang menghasilkan efluen dan akan dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.
Selain itu, pemeriksaan pihak JAIS mendapati kilang tersebut tidak memperbaharui Sijil Pertaulihan Penyembelihan. Kaedah penyembelihan yang dilakukan juga tidak menerapkan sifat ehsan terhadap binatang. Demikian itu, JAIS mengeluarkan notis pematuhan syarat kepada pemilik premis yang perlu dipatuhi dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh 14 Mac 2025.
Operasi bersepadu ini telah diketuai Unit Kawalan Mutu Makanan dan Sanitasi, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, dan disertai Jabatan Pelesenan serta bersama-sama 30 anggota dalaman MPS, JAS dan JAIS. Operasi yang dimulakan pada pukul 10.30 malam dan berakhir pada pukul 2.00 pagi pada 15 Mac 2025 (Sabtu) tanpa sebarang halangan atau provokasi daripada pemilik premis dan orang awam.
MPS mengambil berat mengenai isu ternakan haiwan serta pusat penyembelihan dan akan terus menjalankan pemantauan secara berkala untuk membanteras aktiviti haram ini. Pemilik premis diingatkan untuk mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan, atau tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.

LAWATAN TURUN PADANG KE BAZAR RAMADAN PEKAN RAWANG
Sekitar lawatan turun padang ke Bazar Ramadan Pekan Rawang oleh Puan Zulaina Abu Talib, Pengarah Jabatan Pelesenan, pada 13 Mac 2025.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kelancaran operasi bazar, dengan fokus terhadap aspek kebersihan, keselamatan, serta kesejahteraan peniaga dan pengunjung. Topi juga diedarkan kepada para peniaga bazar Ramadan sebagai tanda penghargaan.
Diharapkan inisiatif ini mampu menyuntik semangat baharu kepada para penjaja untuk terus mengutamakan kebersihan, kualiti produk, dan layanan mesra kepada pengunjung bazar.

PROGRAM RIUH RENDAH BUBUR LAMBUK MPS
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) telah menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk pada 11 Mac 2025 bertempat di Pekarangan Menara MPS.
Program yang bertemakan “Riuh Rendah Bubur Lambuk” ini dilaksanakan secara gotong-royong bersama kakitangan MPS bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat yang memupuk semangat muhibah dan berkongsi rezeki antara warga MPS.
Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS turut berkesempatan meluangkan masa meninjau persiapan bubur lambuk. Hadir sama, Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan.
Sebanyak 3000 bekas bubur lambuk akan diedarkan kepada kakitangan MPS, Agensi- agensi Kerajaan dan swasta serta orang awam yang datang berurusan di MPS.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bagi mengeratkan lagi kerjasama MPS dan warga perbandaran Selayang di masa akan datang.

MPS SANTUNI PENGHANTAR MAKANAN DI RIDER PIT STOP
Agihan bubur lambuk sempena Program Memasak Bubur Lambuk turut diadakan bertempat di Rider’s Pit Stop MPS. Pada program ini, Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Penolong Setiausaha MPS dan Encik Zikry bin Zulkifle; Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi MPS telah menyampaikan agihan bubur lambuk kepada penghantar makanan di sekitar lokasi tersebut.
MPS mengambil peluang menyantuni pekerja penghantar makanan kerana mereka memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat, terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan sepanjang bulan Ramadan.
MPS berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menyebarkan lagi kegembiraan dan kebaikan sepanjang bulan yang mulia ini.

MPS AGIH BUBUR LAMBUK KEPADA ORANG AWAM
MPS telah mengadakan agihan bubur lambuk kepada orang awam telah diadakan bertempat di Lobi Menara MPS. Sesi ini bertujuan mengimarahkan lagi keindahan bulan Ramadan dengan amalan bersedekah.
Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, berbesar hati menyempurnakan agihan kepada orang awam, sekaligus mengambil kesempatan menyantuni pelanggan yang sedang mendapatkan perkhidmatan di kaunter bayaran MPS. Turut sama pada sesi agihan ni Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Penolong Setiausaha MPS dan En.Zikry bin Zulkifle; Presiden Kelab Sukan Dan Rekreasi MPS.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengagihkan juadah bubur lambuk, tetapi juga sebagai platform mengeratkan hubungan antara pihak MPS dan warga perbandaran Selayang dalam suasana yang harmoni dan penuh muhibah.

MAJLIS IFTAR SEMPENA IHYA' RAMADAN PERINGKAT MPS
Bersempena dengan kemuliaan bulan Ramadan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Majlis Iftar yang diadakan pada 11 Mac 2025 bertempat di Lobi dan Pekarangan Menara MPS.
Majlis Iftar ini antara program yang diadakan sempena Ihya Ramadan MPS di mana turut diadakan program Memasak Bubur Lambuk MPS, sesi agihan bubur lambuk kepada orang awam, dan agihan bubur lambuk kepada para penghantar makanan di Rider’s Pit Stop MPS.
Dalam majlis ini, MPS telah turut menyantuni seramai 54 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak kakitangan MPS dan anak-anak yatim dari Rawang dengan penyampaian sumbangan wang tunai yang disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.
Seramai 300 orang kakitangan MPS dan tetamu jemputan yang hadir pada majlis ini turut mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Asma’ binti Harun, bertajuk “Hidupkan Ramadan Dengan Al-Quran”.
Hadir sama pada majlis ini Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia, YBHg Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang, Encik Zikry bin Zulkiflee, Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS, Puan Ruzaini binti Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS, Tuan Ts. Mohd Azmi bin Wagiran, Pengerusi Majlis Bersama Jabatan (MBJ) MPS, Ahli Majlis, Barisan Pengarah, wakil-wakil Parlimen dan DUN serta warga kerja MPS.

PENIAGA TANPA LESEN DIGEMPUR DALAM OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA DBKL
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selayang pada 8 Mac 2025 bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen.
Operasi yang berlangsung dari jam 1:00 pagi hingga 3:00 pagi itu melibatkan 24 anggota dan diketuai oleh Mohd Noor Salehuddin bin Kamis; Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS.
Menerusi operasi, sebanyak 10 sitaan telah dilakukan, termasuk 7 inventori di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 melibatkan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kaki lima premis serta 3 inventori di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan menghalang laluan awam. Selain itu, 1 kompaun turut dikeluarkan di bawah akta yang sama.
Antara barang yang disita dalam operasi ini ialah 153 bakul berisi sayur dan buah-buahan, 2 unit penimbang serta 56 papan telur ayam.
MPS ingin menegaskan bahawa pemantauan akan terus dibuat dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan aktiviti perniagaan haram tidak berleluasa.
Peniaga juga adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjaga ketenteraman serta kebersihan kawasan perniagaan.

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
Program Hari Bertemu Pelanggan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dipengerusikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS telah diadakan pada 7 Mac 2025 bertempat di Lobi Menara MPS.
Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada penduduk bagi menyuarakan sebarang aduan, cadangan atau pandangan, mendapatkan penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit, serta menyelesaikan urusan berkaitan MPS secara terus dengan pihak pengurusan tertinggi.
Turut sama dalam program ini ialah barisan pengarah dan wakil jabatan MPS.
Bagi orang awam yang tidak berkesempatan menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan hari ini boleh melayari https://mps.spab.gov.my/eApps/system/index.do untuk sebarang aduan, cadangan dan maklum balas atau boleh ke media sosial MPS untuk maklumat lanjut.